Friday, December 21, 2012

SELAMATKAN GENERASI MUDA DENGAN TAUHID


Dari satu zaman ke satu zaman, dari satu generasi ke satu generasi; darjah akhlak dan adab umat manusia makin rosak dan jauh dari petunjuk Nabi. Macam-macam usaha telah dilakukan, namun tidak ada suatu hari pun, di tanah mana pun tidak dilaporkan pelbagai permasalahan sosial. Bagaimana pula solusi Islam sebagai sebuah agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam?
Formulanya adalah dengan tauhid. Kita sebutkan dahulu yang pertama adalah tauhid, kerana Allah dan Rasul-Nya menggunakan kaedah dan formula ini untuk menyelesaikan semua masalah termasuk permasalahan sosial. Kita sudah letih menceritakan berkenaan dengan masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah, zina, buang bayi dan macam-macam lagi. Itu belum pengaruh internet yang melaluinya zina masuk ke dalam rumah-rumah umat Islam.
Dari dahulu sehingga sekarang banyak pihak bukan tidak berusaha untuk menyelesaikan masalah ini sama ada institusi, organisasi, kerajaan sendiri, masyarakat, badan-badan sukarelawan dan sebagainya. Mereka berusaha untuk menyelesaikan masalah ini tetapi nampaknya masalah tetap sahaja tidak selesai. Bahkan dari satu hari ke satu hari ia semakin membimbangkan.
Di dalam Islam Allah mengutuskan seluruh Nabi dan para Rasul adalah untuk memurnikan tauhid. Sebagai bukti Nabi kita yang kita cintai iaitu Nabi Muhammad s.a.w diutuskan di tengah-tengah Quraisy. Adakah pada ketika itu kaum Quraisy tidak berhadapan dengan masalah sosial?
Tadi kita menceritakan tentang pembuangan anak, sedangkan orang Quraisy menanam anak mereka hidup-hidup di depan mata mereka sendiri. Jadi bagaimanakah Nabi menyelesaikan masalah ini? Tiada kaedah lain yang Nabi guna pakai sebagai formula untuk menyelesaikan masalah ini selain daripada mengajar manusia itu tentang tauhid iaitu hal yang berkaitan tentang ketuhanan. Apabila manusia memahami tauhid dan faham Tuhan, maka tidak akan berlaku perkara-perkara yang tidak baik.
Nabi mendakwahkan tauhid di Makkah selama 13 tahun. Nabi tidak mengajar solat dahulu. Perintah solat diturunkan hanya beberapa tahun sebelum hijrah Nabi ke Madinah. Zakat diwajibkan pada tahun ke-2 selepas Nabi berhijrah ke Madinah dan banyak perkara-perkara di dalam ibadah disyariatkan di Madinah. Selama 13 tahun Nabi di Makkah, yang Nabi ajarkan adalah tauhid kerana tauhidlah yang paling sesuai untuk diajarkan sebagai perkara yang pertama. Contoh jika orang itu tidak memakai tudung dan sekarang ramai muslimat-muslimat atau remaja-remaja yang tidak mahu memakai tudung, lalu kita datang kepadanya dan berkata ‘saudari pakailah tudung’. Maka pasti dia akan menolak ajakan kita.
Kita lihat persaksian ibunda Aisyah binti Abu Bakar yang mendampingi Nabi. Kata beliau maksudnya, “Sesungguhnya surah yang mula-mula diturunkan adalah surah pendek yang di dalamnya disebutkan adanya syurga dan neraka, sehingga manusia telah memeluk Islam, maka diturunkan ayat tentang halal dan haram. Seandainya ayat yang pertama kali turun adalah “janganlah kalian meneguk arak” pastilah mereka berkata “kami tidak akan meninggalkan arak selamanya”. Kalau ayat yang pertama kali diturunkan ; “janganlah kamu berzina”, pasti mereka akan menjawab; “Kami tidak akan meninggalkan zina selamanya.” (riwayat Imam al-Bukhari)
Tetapi jika kita cuba datang kepada mereka dengan menceritakan hal tentang Tuhan dan membawa mereka faham tentang Tuhan, orang yang faham tentang Tuhan, dia akan menyelesaikan seluruh masalah di dalam hidupnya.
Sekarang kaedah remaja diajar dengan hiburan yang terlarang. Kita perlu ingat bahawa bagaimana kaedah hiburan ini boleh meresap ke dalam diri dan jiwa-jiwa remaja kerana ianya dimainkan pelbagai pihak. Ianya telah didoktrin, contohnya celik sahaja sudah ada hiburan. Baik di peti televisyen, akhbar, radio, internet dan kini telefon. Begitu juga halnya dengan tauhid, ianya perlukan pendoktrinan iaitu hari-hari kita perlu bercakap tentang tauhid.
Para intelektual dan sarjana Islam dari zaman awal Islam sehingga hari ini telah menyusun sekian banyak makalah dan kitab membincangkan tahapan dan teknik dalam berdakwah. Antaranya termasuk Manhajul Anbiya di Da’wahi Ilallah fihil Hikmah wal ‘Aql (Cara Para Nabi Berdakwah) oleh Syaikh Prof Dr Rabee’ bin Hadi al-Madkhali dan Al Lin wa Ar Rifq (Lemah Lembut dalam Berdakwah) karya Prof Dr Fadhal Ilahi. Kesimpulan yang dapat diambil dari seluruh kitab itu ialah, mulakan dakwah dan pembaikan dalam masyrakat dengan tauhid!
Memahami tauhid melalui Al-Qur’an dan Sunnah
Jika orang Islam khususnya, kita harus kembali kepada al-Qur’an dan Sunnah. Jangan hanya slogan di bibir, tetapi tunjukkan melalui amalan dan perbuatan. Al-Qur’an sudah diterjemahkan sebanyak 30 juzuk di dalam Bahasa Melayu. Tetapi berapa juzukkah yang kita telah baca beserta dengan terjemahannya? Sedangkan seluruh umat Islam tahu bahawa kitab al-Qur’an adalah kitab yang paling unggul. Namun sehebat manapun al-Qur’an itu tidak akan memberi makna apa-apa jika tidak dibaca dan diamalkan.
Berapa banyakkah novel yang kita telah tamatkan? Berapa banyakkah filem dan drama yang telah kita habis tonton? Kita sangka hanya duduk dua jam di depan televiseyn tetapi mereka membuat rancangan TV itu memakan masa selama 2 tahun, doktrin masuk ke dalam pemikiran kita.
Wahyu yang pertama diturunkan adalah Iqra’ yang bermaksud bacalah. Kerana itu umat Islam harus kembali membaca dan menghayati al-Qur’an. Ini kerana di dalam al-Qur’an kita akan lihat bahawasanya seluruh al-Qur’an itu adalah perkara yang pertama di dakwahkan menjurus kepada aqidah dan tauhid.
Di dalam al-Qur’an ada satu surah yang paling hebat yang sering kita bacakan bahkan di dalam solat pun yang kita panggil sebagai al-Fatihah. Surah al-Fatihah juga diberi nama ‘ummul kitab’. Cuba kita lihat seluruh ayat di dalam al-Fatihah. Ia dimulakan dengan Bismillah. Kemudian Alhamdulillahi rabbil ‘alamin  yang merujuk kepada Allah Tuhan sekalian alam. Lafaz Ar-Rahman Ar-Rahim iaitu menyentuh kepada ‘tauhid asma wa sifat’ yakni nama-nama dan sifat Allah. Iyyaka na’budu waiyaka nasta’in pula bermaksud Engkaulah Ya Allah tempat kami beribadah dan tempat kami memohon pertolongan. Seluruh di dalam ayat al-Fatihah itu menjurus kepada kefahaman tauhid rububiyyah, uluhiyyah dan asma’ wa sifat. Kerana itu orang Islam khususnya harus kembali kepada al-Qur’an dan bukan hanya slogan tetapi ilmu yang benar.
Kata Imam Malik bin Anas, kita tidak akan boleh menjadi baik kecuali dengan jalan dan cara orang dahulu menjadi baik iaitu Nabi s.a.w dan para sahabat baginda. Mereka ini adalah insan yang terbaik dan tidak ada orang yang terbaik selepas daripada generasi ini. Kita tidak akan boleh jadi baik kecuali dengan cara mereka. Lalu satu kaedah besar di dalam agama menyebutkan, ‘Lau kana khairan lasabaquna ilaihi’ yang bermaksud jika sesuatu itu adalah perkara yang baik sudah pasti mereka yakni para sahabat mendahuluinya.
Jadi kaedah yang terbaik mereka guna pakai untuk mengajar masyarakat adalah kaedah mengajarkan tauhid melalui majlis-majlis ilmiah iaitu majlis ilmiah yang disebutkan al-Qur’an dan Sunnah bukannya majlis ilmiah gelak ketawa dari awal hingga akhir. Majlis ilmiah yang disebutkan al-Qur’an dan Sunnah serta harus diajar bahawa orang yang duduk di dalam majlis ilmiah, ini adalah satu jihad dan perjuangan yang besar. Kerana itu apabila sebelum masuk ke majlis kuliah kelihatan sihat sahaja kemudian apabila masuk ke majlis kuliah terus kita mengantuk kerana syaitan paling tidak suka hal itu. Kerana itu kita harus terus meramaikan majlis ilmiah untuk membawa masyarakat dibentuk dengan kaedah generasi dahulu dibentuk.

No comments:

"Barangsiapa yang Allah beri hidayah, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya. Dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya hidayah."